Wednesday, October 31, 2012

Entah aku pun tak tahu

Ibunya menyorong dia sampai ke depanku.

Mukanya, entahlah.

Tidak senyum, tidak masam.

Seperti kosong.

Aku senyum.

Tahu akan kedatangannya.

Tapi aku tak tahu kisah dia.

Aku tunjukkan bilik bersalin di mana.

Kami menemu ramah, mengambil butiran peribadi dia.

Muda lagi rupanya, baru 20.

Bila ditanya 'mana suami'?
Ibunya jawab 'dah mati!' Kemudian dia menangis.

Kami terpaksa menyuruh ibu itu keluar untuk mengetahui perkara sebenar.

Kami menemu ramah si dia.

Oh. Begitu ceritanya. Allah....

*Keesokan harinya aku datang pagi.

Dari jauh aku melihat ibu, ayah dan kakaknya sedang membaca Yaasiin.

Mata mereka merah, berair. Hidung merah berair.

Aku senyum sedikit kemudian aku tunduk memandang tanah sambil berjalan.

Si dia sudah mengerang kesakitan.

Aku tahu, masanya sudah tiba.

Semoga Allah permudahkan segalanya.

Mereka semakin gelisah, berdoa pada Tuhan. 'Selamatkanlah dia'

Tidak berjaya secara normal, terpaksa secara kecemasan.

Dis menjerit, menangis kesakitan.

Nyawa di hujung tanduk.

Kegelisahan mereka tidak dapat dibendung.

Jelas terpancar di wajah masing-masing.

Alhamdulillah dia selamat.

Aku menyambut dia untuk pindah ke bilik.

Mukanya, entahlah aku pun tak tahu.

Sudah selamat semuanya, ibunya mengusap kepala si dia.

Aku dah tak tahan.

Cepat-cepat aku jalan keluar dari bilik itu.

Aku menangis.

Ahh! Bodoh! Emosi telah menguasai diri.

Aku menjenguk si kecil.

Comelnya. Anak yang tidak berdosa. Suci.

Ayah dia mengangkat bayi kecil itu.

Meng'azan'kan bayi itu, cucunya.

Aku dengar azan itu sayup-sayup dan sebak intipatinya.

Aku nampak ayah dia menangis ketika meng'azan'kan si kecil yang tidak berbinti.

Lagi aku tak tertahan, bergenang hampir-hampir meleleh.

Entah.
Aku pun tak tahu.

Muka dia, muka seperti orang tidak bersalah.

Aku geram. Dalam hatiku berbisik 'pergi mampus lah kau!'

Tersedar. Astaghfirullah. Sabar-sabar. Kawal emosi. Syaitan tengah bakar kau ni.

Sampai masa untuk aku pulang.
Aku pulang, tak mahu mengadap muka dia yang entah aku pun tak tahu.

#aku harap dia akan bertaubat. Ya, pintu taubat sentiasa terbuka selagi belum terlambat. InsyaAllah. Aku sangat-sangat berharap dia bertaubat.

P/s: Duhai anak-anak. Kalau kau tak nak fikir pasal kau, suka hati. Lantak kaulah. Tapi aku merayu. Fikirkan ibu bapa mu. Tolong. Aku dah tak sanggup nak tengok air mata mereka yang mana puncanya adalah KAU!

No comments:

Post a Comment